Jumaat, Januari 20, 2017

Kesilapan Ejaan Kata Majmuk

Sehingga Ogos 1972  semua kata majmuk di eja bercantum.SISTEM ejaan Rumi bahasa Melayu yang baharu dikuatkuasakan pada 16 Ogos 1972. Hal ini bermakna bahawa sudah 43 tahun sistem ini digunakan. Namun begitu, kita dapati banyak sekali kesalahan ejaan yang masih berlaku. Kemungkinan besar pengguna bahasa masih keliru, maka pengejaan perkataan tertentu kadang-kadang betul dan kadang-kadang salah.

Hal ini dikesan pada surat rasmi, kertas cadangan, risalah, dan sebagainya, serta pada papan tanda di jalan raya dan di premis perniagaan.

Yang sering kita temukan ialah kesilapan ejaan kata majmuk. Antaranya ialah :tengahari, samada, aturcara, dan alatulis. 

Sehingga Ogos 1972, kesemuanya memang dieja secara bercantum, tetapi mengikut peraturan ejaan baharu, kata-kata majmuk tersebut hendaklah dieja secara terpisah, iaitu tengah hari, sama ada, atur cara, dan alat tulis.


Perkataan daripada bahasa Arab juga masih mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Kita selalu menemukan perkataan Ramadhan, wudhuk, redha, dan sebagainya. Mengikut sistem ejaan Rumi baharu, gabungan huruf “dh” tidak digunakan lagi, sebaliknya menggunakan “d” sahaja. Ejaan yang sepatutnya ialah Ramadan, wuduk, dan reda. Hal ini menimbulkan pertikaian kerana sebutan Arabnya sudah hilang dan dikhuatiri akan menimbulkan makna yang berbeza daripada istilah asal. Oleh itu, bunyi [dh] dibolehkan dalam penyebutan, tetapi [d] hendaklah diguna pakai dalam penulisan.


Sumber asal :Sinar Harian