Memaparkan catatan dengan label Karangan Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan Fakta. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 17, 2020

Jiran


Karangan Fakta : Jiran

  Jiran ialah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Jiran kita termasuklah mereka yang tinggal di sebelah, depan dan belakang rumah kita. Saya tinggal di rumah teres dan mempunyai ramai jiran yang baik.

                                                                                                                                                                      Jiran jiran saya sangat peramah. Mereka sering bertegur sapa sekiranya berada di luar rumah. Jiran saya juga datang menziarahi rumah ketika ayas saya sakit dan ketika ibu melahirkan adik-adik saya.
                                                                                                                                                                      Jiran saya juga suka menghantar makanan ke rumah saya. apabila mereka memasak sesuatu yang istimewa seperti nasi beriani dan kuih tradisional. Ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara jiran.
                                                                                                                                                                      Jiran saya akan memaklumkan kepada keluarga saya apabila mereka tiada di rumah. Kami sekeluarga akan menjenguk ke rumah mereka untuk memastikan rumah mereka selamat. Ini akan mewujudkan kawasan kejiranan yang lebih selamat.
                                                                                                                                                                      Sekiranya berlaku kecemasan, kita boleh memohon bantuan dari jiran. Suatu ketika adik saya sakit dan ayah saya tiada di rumah. Ibu terpaksa membawa adik ke hospital manakala saya tinggal sementara di rumah jiran.
                                                                                                                                                                      Jiran-jiran saya turut membantu sekiranya terdapat majlis atau jamuan. Mereka bergotong-royong menjayakan acara tersebut dengan gembira. Jiran-jiran turut bergotong-royong membersihkan persekitaran surau dan kawasan perumahan.
                                                                                                                                                                      Saya mempunyai jiran yang sebaya dan belajar di sekolah yang sama dengan saya. Kami sering belajar dan mengulang kaji pelajaran beramai-ramai. Kami juga sering bertukar pendapat untuk meningkatkan penegetahuan.
                                                                                                                                                                      Hidup kejiranan membawa banyak manfaat kepada kita. Kita mestilah berbuat baik sesama jiran. Saya bersyukur kerana mempunyai jiran-jiran yang baik.

Sumber :http://karanganskk.blogspot.com/2015/02/karangan-fakta-jiran.html



Jumaat, Jun 14, 2019

Punca Kemalangan Jalan Raya

Punca berlakunya kemalangan di jalan raya.

Hampir setiap hari berita tentang kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan parah, kehilangan nyawa dan kerugian harta benda disiarkan melalui media massa dan sosial. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemalangan adalah satu masalah serius yang perlu ditangani bersunguh-sungguh.

Banyak faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Kecuaian manusia dikatakan antara faktor utama. Ramai pemandu dan penunggang kenderaan yang gemar memandu secara cuai dan melulu. Mereka tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, ada pemandu yang gemar memotong kenderaan lain di selekoh yang mempunyai garisan berkembar. Bahkan ada pemandu yang memandu melawan arus. Perbuatan begini amat berbahaya kepada diri sendiri dan pemandu lain.

Selain itu, keadaan kenderaan juga punca kepada berlakunya kemalangan. Ramai pemilik kenderaan tidak menyelenggara kenderaan mereka  dengan baik. Keadaan ini menyebabkan komponen kenderaan seperti brek dan tayar tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik dan mudah terbabas ketika memandu.

Kemalangan juga berpunca daripada keadaan jalan raya. Permukaan jalan raya  yang  tidak rata , dan berlubang-lubang amat berbahaya kepada pemandu. Pemandu yang kurang pengalaman ketika melalui laluan tersebut sukar untuk mengawal kenderaan mereka dan amat berisiko mengalami  kemalangan.

Di samping itu, kemalangan jalan raya juga berpunca daripada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu.  Hal ini menyebabkan mereka tidak memahami undang-undang dan peraturan jalan raya. Mereka  tidak mendapat tunjuk ajar dan latihan yang diperlukan. Bahkan akan terdorong memandu atau menunggang secara tidak berhemah.  Keadaan sebegini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

Kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya. Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu menggemblengkan tenaga dan usaha secara lebih giat bagi mengatasi masalah kehilangan nyawa dan harta benda akibat kemalangan jalan raya.

Rabu, Mei 22, 2019

Kebaikan Komputer

Komputer adalah alat elektronik yang digunakan untuk menyimpan dan memproses data untuk kegunaan manusia masa sekarang dan hadapan. Komputer telah banyak membantu meringankan kerja manusia terutama dalam memproses angka dan maklumat.

 Komputer banyak kegunaannya.Antaranya ialah sebagai alat untuk mencari maklumat. Murid boleh mencari pelbagai ilmu berkaitan pelajaran mereka di sekolah. Sambungan internet pada komputer menyebabkan semua maklumat boleh diperoleh dengan mudah. Contohnya laman web pencari 'GOOGLE' memudahkan murid menyiapkan kerja kursus mereka kerana semua bahan rujukan boleh diakses dari internet.

 Selain itu komputer dapat memudahkan tugas kita. Banyak kerja menaip, menyiapkan laporan kini dilakukan dengan bantuan komputer. Oleh itu semua tugasan dapat disiapkan dengan lebih cepat dan sistematik. Kepada murid, komputer dapat membantu mereka menyiapkan kerja kursus yang diberikan oleh guru.

 Dengan bantuan komputer, semua kerja-kerja pengiraan yang rumit menjadi lebih mudah. Komputer dapat menganalisis semua data dengan lebih cepat dan tepat berbanding manusia. Sudah tentu dapat menjimatkan masa dan kos  akauntan yang bekerja di bank dan institusi kewangan lain.

 Penggunaan komputer akan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran murid akan lebih menarik. Bantuan grafik yang berkesan seperti gambar, bunyi dan warna akan lebih menarik minat murid untuk belajar sesuai dengan zaman ledakan maklumat. Tambahan pula sebelum ini murid hanya terdedah dengan teknik menulis pada papan kapur yang membosankan. Oleh itu pemahaman murid tentang pelajaran mereka akan lebih berkesan.

 Ringkasnya komputer sangat berguna kepada manusia hari ini. Guru dan murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya komputer kita boleh mendapat semua maklumat hanya melalui hujung jari sahaja. 



Rabu, Februari 06, 2019

Faedah Menabung

Soalan :

Tuliskan sebuah karangan tentang faedah menabung.


Pendahuluan - menabung amalan mulia

Isi 1 - mendidik kita berjimat-cermat
Isi 2 - menggunakan wang ketika kecemasan
Isi 3 - sebagai persediaan masa hadapan
Isi 4 - mendapat keuntungan

Penutup - menabung banyak faedah 



 Menabung satu amalan mulia. Peribahasa berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit sesuai untuk dikatkan dengan tabiat menabung. Banyak kebaikan yang kita dapat dengan menabung.

 Amalan menabung mendidik kita untuk berjimat-cermat. Kita akan lebih berhati-hati dalam berbelanja. Kita hanya membeli barang yang perlu sahaja. Selebihnya disimpan sebagai tabungan. Kita boleh menyimpan wang tersebut di dalam tabung atau sebagai simpanan tetap di bank. Bahkan kita sebenarnya dapat mengelak tabiat suka membazir.

 Dengan menabung, kita dapat menggunakan wang tersebut ketika waktu kecemasan. Kita tidak dapat menjangka hal yang berlaku kepada kita dan keluarga. Wang yang disimpan sedikit sebanyak dapat membantu ketika kita memerlukannya untuk rawatan perubatan atau kecemasan.Inilah kelebihan menabung.

 Selain itu amalan menabung juga adalah satu persediaan untuk masa hadapan. Wang ini sangat berguna ketika kita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Kita boleh membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebagai tabungan kita kelak. Oleh itu kita tidak perlu runsing perbelanjaan kita di universiti nanti  kerana kita telah menabung dari sekarang. 

 Akhir sekali, dengan menabung kita boleh mendapat keuntungan. Simpanlah wang anda dalam akaun simpanan tetap di bank. Pihak bank akan membayar faedah kepada kita mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu lebih lama wang disimpan, lebih tinggi kadar faedah yang akan diberi.

 Sesungguhnya menabung banyak faedahnya. Kita harus menabung sejak dari kecil. Dengan menabung kita telah berjaya mengatasi kesempitan wang ketika menghadapi waktu sukar. 


Selasa, Februari 05, 2019

Faedah Membaca

Soalan :

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk faedah membaca

Soalan:

Berikan faedah membaca.

 Membaca adalah jambatan ilmu. Amalan membaca adalah satu sifat yang mulia. Orang yang membaca akan menguasai dunia.Begitulah hebatnya kuasa membaca.

 Banyak faedah sekiranya kita rajin membaca. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara terkini. Zaman internet menjadikan kita memiliki banyak maklumat.  Contohnya melalui surat khabar dan portal akhbar dalam talian. Akhbar dan portal dalam talian merupakan sumber maklumat terkini yang menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

 Dengan membaca kita dapat mengisi masa lapang. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Oleh itu, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong , melepak di pasar raya, asyik dengan permainan komputer dalam talian dan telefon bimbit dan sebagainya.

 Di samping itu, dengan membaca, kita  boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Melalui pembacaan buku Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kita boleh menambah perbendaharaan kata yang baharu. Justeru kita akan boleh menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam kedua-dua bahasa tersebut.

 Akhir sekali, membaca dapat  mematangkan fikiran kita. Dengan membaca kita dapat membezakan sesuatu perkara tersebut boleh membawa kebaikan atau keburukan. Oleh itu kita boleh membuat pilihan dengan bijak dan tidak mudah ditipu oleh orang yang cuba mengambil kesempatan terhadap kita.

 Kesimpulannya, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu.

Faedah Menyertai Kegiatan Ko kurikulum

 Soalan :

 Berikan faedah menyertai kegiatan ko kurikulum


 Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah. Antaranya termasuklah aktiviti unit beruniform seperti Pengakap ,Bulan Sabit Merah ,Puteri Tunas dan sebagainya. Aktiviti sukan pula termasuklah acara sukan bola sepak ,bola keranjang, olah raga dan sebagainya.

 Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, kita akan dapat menambah pengetahuan dan pengalaman. Aktiviti perkhemahan pengakap mengajar kita cara hidup berdikari di dalam hutan. Oleh itu kita dapat belajar teknik memasak menggunakan dapur kayu, cara untuk memasang khemah dan lain-lain. Sudah tentu kita juga akan dapat merasai pengalaman berharga  tidur di atas lantai hutan berbanding tidur di rumah yang selesa.

 Di samping itu kita juga dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah. Melalui kegiatan kokurikulum kita terlibat dengan pelbagai aktiviti. Sekiranya kita aktif dalam bidang sukan bola sepak, sudah tentu latihan akan diadakan setiap petang.Oleh itu kita terhindar daripada perbuatan melepak dan membuang masa dengan sia-sia.

 Selain itu, kegiatan kokurikulum boleh menyihatkan tubuh. Dengan menyertai aktiviti sukan badan kita akan sentiasa segar, otak pula semakin cerdas. Sekali gus mengelakkan kita daripada ditimpa sebarang penyakit seperti demam selsema dan sebagainya. 

 Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan semua rakyat Malaysia. Setiap kelab dan persatuan mempunyai ramai ahli. Tambahan pula  ahli persatuan terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Apabila aktiviti secara kumpulan dilakukan, kita saling bertukar buah fikiran sekali gus merapatkan hubungan antara satu sama lain.

 Akhir sekali kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Melalui kegiatan unit beruniform seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah , kita perlu berpakaian kemas, sentiasa mematuhi peraturan dan mendengar arahan ketua. Secara tidak langsung,kita dapat membentuk jati diri yang kental seperti amanah dan bertanggungjawab dalam setiap tugas yang diberikan kepada kita. 

 Oleh itu kegiatan kokurikulum banyak faedahnya.Semua murid harus merebut peluang untuk menyertai setiap aktiviti kokurikulum di sekolah. Murid yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.




Kegunaan Air Kepada Manusia

Soalan : 

Berikan kegunaan air kepada manusia.


 Semua benda hidup memerlukan air. Tanpa air semua hidupan akan mati. Oleh itu air banyak kegunaannya kepada manusia.

 Air digunakan sebagai sumber minuman kepada manusia. Kita perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Apabila air mencukupi , tubuh kita akan lebih cergas dan terhindar dari penyakit seperti sembelit dan sebagainya akibat kurang minum air. 

 Di samping itu air juga digunakan untuk membersihkan tubuh yang kotor. Kita terdedah dengan kotoran selepas melakukan aktiviti di luar rumah. Dengan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, tubuh kita akan kembali bersih dan sihat. Bahkan penyakit berjangkit seperti kudis buta dan sebagainya tidak akan mudah menjangkiti  kita.
  
 Para petani amat memerlukan air. Mereka akan menyiram sayur-sayuran untuk mengelakkan tanaman mati dan terus hidup subur. Begitu juga dengan penternak. Mereka akan memberi ternakan minum sekurang-kurangnya sekali sehari untuk memastikan ternakan seperti lembu dan kambing terus hidup sihat sebelum dijual kepada pembekal daging.

 Manusia juga menggunakan air untuk menghasilkan tenaga elektrik. Kemajuan teknologi menyebabkan banyak empangan dibina untuk menjana tenaga elektrik. Tenaga daripada air digunakan untk memutar dinamo dan menghasilkan kuasa elektrik kepada rumah dan kilang-kilang.

 Oleh itu air banyak kegunaannya kepada manusia. Kita perlu menghargai sumber air dan tidak membiarkannya tercemar.  

Sabtu, Oktober 27, 2018

Faedah Mengikuti Kelas Tambahan


Ramai murid mengikuti kelas tambahan. Kelas ini diadakan  selepas waktu pembelajaran formal di sekolah. Ada kelas tambahan yang disediakan secara percuma. Ada kelas tambahan berbayar yang dianjur oleh pihak swasta. namun matlamat  kelas ini adalah untuk persediaan menghadapi peperiksaan UPSR , PT3 , SPM dan STPM


Dengan mengikuti kelas tambahan, seorang murid dapat menambahkan pemahaman sesuatu subjek dengan lebih mendalam. Ada ketika subjek di ajar guru tidak sempat di habiskan semasa pembelajaran formal disebabkan kekangan masa dan faktor lain.Oleh itu pelajaran yang tertinggal tadi di ajar melalui kelas tambahan. 

Selain itu murid yang mengikuti kelas tambahan dapat meningkatkan penguasaan teknik menjawab soalan peperiksaan. Kelas tambahan agak berbeza dari pada kelas formal. Biasanya kelas tambahan akan berfokus kepada peperiksaan. Di sini semua murid menjawab soalan secara lebih mendalam dan latih tubi soalan peperiksaan. Tambahan pula guru akan cuba mengajar teknik menjawab dengan betul  bagi soalan yang berkaitan subjek diajar.

Kita juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah semasa mengikuti kelas tambahan. Kita  tidak akan membuang masa dengan menonton televisyen terlalu kerap, bermain permainan video dan bersembang dalam talian seperti 'Whatsapp' dan 'Facebook' sehingga mengabaikan pelajaran.

Banyak sekolah yang menganjurkan kelas tambahan percuma kepada murid-muridnya. Dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan syarikat korporat sanggup menaja kelas tambahan percuma kepada murid. Oleh itu ibu bapa dapat  menjimatkan kos perbelanjaan daripada menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar.Justeru secara tidak langsung dapat membantu meringankan bebanan kewangan ibu bapa murid.


Oleh itu kelas tambahan banyak kebaikannya. Semua murid perlu manfaatkan sebaik mungkin. Sementara ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan demi  kejayaan murid itu sendiri.


Rabu, Ogos 01, 2018

Cara-cara menjaga kesihatan diri

Soalan :

Berikan cara-cara menjaga kesihatan diri



    Semua orang ingin hidup sihat. Malangnya ramai orang  tidak menjaga kesihatan diri.Berikut adalah langkah-langkah penting menjaga kesihatan.

    Antaranya ialah kita hendaklah makan makanan yang berkhasiat. Oleh itu elakkan makan makanan segera yang tidak mengenyangkan. Makanan tersebut mengandungi banyak bahan kimia yang boleh memudaratkan tubuh.

    Selain itu, kita perlu menjaga kebersihan kawasan  rumah. Persekitaran rumah yang kotor boleh mengundang pembiakan haiwan dan serangga pembawa penyakit. haiwan seperti tikus, lalat dan nyamuk mudah membiak di kawasan yang kotor. Rumah dan kawasan sekeliling yang bersih mengelakkan kita mudah terkena penyakit.

    Kita patut menjaga kebersihan diri. Kita mesti  mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Ini dapat mengelakkan tubuh dari mudah terkena penyakit kulit seperti panau, kurap dan kudis buta.

    Akhir sekali kita perlu berjumpa doktor sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Doktor boleh memeriksa keadaan kesihatan kita. Sekiranya kita menhgidap penyakit berjangkit, doktor boleh memberi nasihat dan rawatan awal. Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

  Jelaslah menjaga kesihatan diri sangat penting.Rakyat sihat negara sejahtera.
  





   

Selasa, Julai 31, 2018

Berjimat cermat adalah amalan mulia


Soalan:


Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. 

Tulis sebuah karangan tentang faedah  amalan ini.

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan wang, elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat merupakan  satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

    Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita simpan untuk keperluan pada masa kecemasan.

      Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri setiap orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat sudah pasti akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu perkara atau masalah tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga menambahkan pengalaman.

       Selain itu, amalan berjimat juga boleh membantu negara menjimatkan sumber. Sebagai contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air, dan petrol sudah pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan. Secara tidak langsung kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

     Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan wang simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat diperlukan sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat dengan kita.

     Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang. Amalan yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.


Sumber karangan :tuliskaranganupsr.blogspot.com

Kepentingan Belajar Berkumpulan

    Semua orang ingin cemerlang dalam pelajaran. Banyak cara untuk mencapainya. Antaranya ialah belajar secara berkumpulan. Ramai murid kurang tahu faedah belajar secara berkumpulan.

    Antara faedah belajar secara berkumpulan ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Melalui perbincangan secara kumpulan, kita dan rakan-rakan dapat berkongsi idea dengan ahli kumpulan. Sudah tentu idea baharu akan mudah diperoleh kerana ramai ahli turut menyumbang.

    Di samping itu, kita akan lebih mudah memahami sesuatu topik pelajaran. Rakan yang faham akan membantu menerangkan topik yang kita tidak fahami. Sedikit sebanyak  akan mempengaruhi keputusan dalam pelajaran untuk lebih cemerlang.

   Dengan belajar secara berkumpulan, kita dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Kita akan berbincang tentang pelajaran dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan pelbagai latar belakang keluarga. Sudah pasti akan mewujudkan persahabatan yang lebih akrab.

   Akhir sekali dengan belajar secara berkumpulan kita boleh mengatasi rasa bosan untuk memahami sesuatu topik. Semasa belajar bersama dalam kumpulan kita boleh bertukar idea dan bertukar-tukar nota. Aktiviti ini dapat mengelakkan rasa tertekan dan menjadikan kita lebih bersemangat untuk belajar.

  Kesimpulannya belajar secara berkumpulan banyak faedahnya kerana ia merupakan salah satu teknik belajar yang amat berkesan untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

Isnin, Julai 30, 2018

Kepentingan Hidup Berjiran.

Soalan :

Berikan kepentingan hidup berjiran.  

 Semua orang mempunyai jiran. Mereka ialah orang yang tinggal di tepi dan hadapan rumah kita. Banyak faedahnya kalau kita hidup berjiran.

 Jiran ialah orang pertama yang akan menolong kita sekiranya dalam kesusahanJiran yang baik akan sentiasa membantu kita. Sekiranya kita mengadakan majlis atau kenduri kahwin, jiranlah orang pertama yang akan memberi bantuan tenaga dan sebagainya.


   Ketika kita bercuti ,jiran yang baik akan membantu menjaga rumah kita daripada dimasuki pencuri dan sebagainya. Sudah tentu kita akan berasa selamat ketika meninggalkan rumah sendiri. Oleh itu harta benda selamat daripada dicuri kerana jiran sentiasa memantau keadaan sekeliling.


  Selain itu, jiran yang baik juga menjadi tempat mendapatkan nasihat sekiranya kita ditimpa masalah. Sudah tentu dapat mengurangkan sedikit bebanan masalah yang ditanggung.  


 Jiran kita terdiri daripada pelbagai kaum. Hubungan yang baik dengan jiran dapat merapatkan perpaduan antara  kaum  Melayu, Cina, India dan lain-lain. Oleh itu kita akan saling menghormati antara satu sama lain.


 Banyak faedahnya hidup berjiran.Jelaslah jiran amat penting dalam kehidupan.Masyarakat tanpa jiran ibarat perumpamaan seperti kera sumbang.
   

Isnin, November 06, 2017

Kepentingan Mengamalkan Pemakanan Seimbang



            Makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Dewasa ini, media masa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel dalam usaha menyalurkan informasi kesihatan kepada masyarakat.

            Sejak kecil lagi, kita dididik agar mengambil makanan yang seimbang. Makanan seimbang yang mengandungi protein, karbohidrat, kalsium, garam mineral dan vitamin amat diperlukan untuk tumbesaran dan membina tubuh badan yang kuat. Tubuh yang sihat dan cergas akan memberi semangat kepada kita untuk melaksanakan tugas harian dengan lebih baik dan sempurna.

            Justeru, tubuh badan kita akan lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit dan tidak mudah jatuh sakit. Kita dapat menghindari penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Pepatah juga ada mengatakan,”Diri anda ialah apa yang anda makan”. Kenyataan ini jelas benar dalam soal kesihatan.

            Dalam pada itu, pemakanan seimbang memberi kesan dalam perkembangan mental dan personaliti kita. Seseorang yang seimbang dalam aspek pemakanan akan kelihatan sihat, cerdas dan mempunyai produktiviti yang tinggi dalam pekerjaan. Kita tidak akan mudah berasa letih, sebaliknya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan lebih efektif. Sudah tentu syarikat gergasi tidak akan mengambil calon yang sering sakit dan mempunyai masalah kesihatan sebagai pekerja mereka.

            Sesungguhnya, pemakanan seimbang penting untuk mengawal kadar obesiti. Kita hanya perlu mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Menurut sumber Berita Harian,  4 daripada 10 orang dewasa yang melebihi 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau lebih berat badan (obesiti). Sehubungan itu, pengambilan makanan seimbang akan menjadikan tubuh badan kita tidak terlalu gemuk dan mudah menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Masalah obesiti juga dapat diatasi.

            Konklusifnya, kita perlu mengambil makanan seimbang demi kesihatan dan kesejahteraan hidup kita. Pemakanan yang baik ini bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada individu, malah masyarakat dan negara. “ Tepuk dada tanya selera”.

Khamis, Ogos 31, 2017

Kebaikan Membawa Bekal Ke Sekolah



Soalan : 

Setiap murid digalakkan membawa bekal ke sekolah.Berikan kebaikan membawa bekal ke sekolah.     


 Ramai murid tidak berminat membawa bekal ke sekolah. Mereka rasa malu untuk bawa bekal tersebut. Kebanyakan murid tidak tahu membawa bekal ke sekolah banyak faedahnya.

    Kebaikan yang kita dapat ialah, kesihatan diri kita terjamin. Kita dapat mengelak keracunan makanan dan sebagainya kerana makanan yang kita bawa dari rumah lebih selamat.Ada pekerja kantin yang tidak mementingkan aspek kebersihan menyebabkan makanan tersebut tercemar dan mengundang bahaya kepada murid.

      Di samping itu kita boleh menjimatkan wang saku. Kita tidak perlu membeli makanan di kantin lagi kerana bawa bekal dari rumah. Duit tersebut boleh disimpan di dalam tabung dan digunakan untuk perkara lain. Kita juga dapat meringankan beban ibu bapa.

       Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa. Kita tidak perlu beratur panjang untuk membeli makanan di kantin. Sudah tentu selepas makan kita boleh membaca buku cerita dan sebagainya untuk mengisi masa rehat.

       Akhir sekali kebersihan makanan kita akan lebih terjamin. Sesetengah murid menjumpai lalat  dalam makanan yang dijual. Ini mengundang bahaya kepada murid itu sendiri kerana makanan itu sudah tercemar

      Oleh itu kita digalakkan membawa bekal ke sekolah.Banyak faedahnya kepada kita semua dari sekiranya kita membawa bekal dari rumah.


Lagi 74 contoh karangan UPSR

Sabtu, Ogos 22, 2015

Kebaikan Mengikuti Kelas Tambahan

Pengenalan 
- Kelas selepas waktu pembelajaran formal di sekolah - percuma dan berbayar - kelas untuk peperiksaan UPSR , PT3 , SPM dan STPM

Isi Penting

1.Menambahkan pemahaman sesuatu subjek - Subjek di ajar guru tidak sempat di habiskan semasa pembelajaran formal - pelajaran yang tertinggal di ajar melalui kelas tambahan. 

2.Meningkatkan penguasaan teknik menjawab soalan peperiksaan -biasanya kelas tambahan berfokus kepada peperiksaan-latih tubi soalan peperiksaan-guru akan mengajar teknik menjawab yang berkaitan subjek diajar.

3.Mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah- tidak akan membuang masa dengan menonton televisyen, bermain permainan video dan bersembang dalam talian seperti 'Whatsapp' dan 'Facebook'.

4.Kelas tambahan percuma di sekolah  -diajar oleh guru mereka sendiri - menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa - secara tidak langsung membantu meringankan bebanan kewangan ibu bapa murid.


Penutup 

Kelas tambahan banyak kebaikan - murid perlu manfaatkan - ibu bapa galakkan anak-anak mengikut kelas tambahan- untuk kejayaan murid itu sendiri.

Rabu, Februari 13, 2013

Cara - Cara Menjaga Keselamatan Diri di Jalan Raya



Tuliskan sebuah karangan cara-cara menjaga keselamatan diri di jalan raya.

Pendahuluan
– Nyawa amat berharga-tidak dapat ditukar dengan wang ringgit


Idea 1
-Mematuhi undang-undang jalan raya

Idea 2
-Menggunakan kemudahan yang disediakan – jejantas/garisan belang

Idea 3
-Bertimbang rasa –sabar memandu di jalan raya

Idea 4
-Pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik- memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan

Penutup

-Ingatlah orang tersayang-berhati-hati di jalan raya.




Sabtu, September 01, 2012

Faedah Makan Buah-buahan Tempatan

Soalan 
Berikan faedah makan buah-buahan tempatan.


Negara kita kaya dengan hasil buah-buahan.Buah-buahan tempatan ialah buah yang berasal dari negara kita.Contoh buah-buahan tempatan yang banyak terdapat seperti durian,langsat,rambutan manggis dan lain-lain.

Kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana buah-buahan ini masih segar.Kebanyakan buah-buahan ini baru dipetik dari ladang dan sebagainya.Sudah tentu khasiatnya banyak kerana kandungan vitamin dan zat yang terdapat dalam buah-buahan tersebut masih terpelihara.

Di samping itu kita patut makan buah-buahan tempatan kerana buah-buahan ini mudah didapati dan dibeli  terutama pada musim buah-buahan.Tambahan pula sekiranya kita rajin bercucuk tanam terutama mereka yang tinggal di kampung, buah-buahan seperti pisang dan betik hanya diperoleh di belakang rumah sahaja.

Selain itu , buah-buahan tempatan juga harganya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan buah-buahan yang diimport.Tahukah kita harga buah-buahan import harganya dua kali ganda jika dibandingkan dengan harga buah-buahan tempatan.Oleh itu kita dapat menjimatkan wang perbelanjaan seharian.

Seterusnya dengan makan buah-buahan tempatan, kesihatan kita lebih terjamin.Ini disebabkan buah-buahan tempatan tiada bahan pengawet yang mengandungi bahan kimia berbahaya.kebanyakan buah-buahan yang diimport seperti buah epal disapu bahan pengawet supaya tahan lama.Oleh itu kita dapat mengelakkan risiko penyakit seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Oleh itu makanlah buah-buahan tempatan.Banyak kebaikan yang dapat kita peroleh sekiranya kita makan buah-buahan hasil keluaran negara kita sendiri.    

Sabtu, Ogos 20, 2011

Langkah-Langkah Menjadi Murid Cemerlang

Semua murid mempunyai impian menjadi pelajar cemerlang.Tuliskan langkah-langkah yang kamu ambil untuk mencapai impian kamu itu.


Setiap murid ingin cemerlang dalam pelajaran.Banyak langkah yang boleh diambil untuk menjadi murid cemerlang.


Langkah pertama ialah setiap murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka.Mereka harus tahu subjek yang tidak dapat dikuasai. Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi mengatasi kelemahan tersebut.

            Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar sendiri.Murid akan tahu masa yang sesuai untuk belajar , berbual-bual dengan rakan dan bersukan.Oleh itu mereka tidak akan membuang masa dengan sia-sia.

Di samping itu, setiap  murid mesti memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan.Murid perlu banyak membuat latihan. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.

            Seterusnya, semua murid mesti menjaga kesihatan diri. Mereka mesti makan makanan  yang seimbang dan bijak mengawal emosi.Dengan itu murid akan lebih yakin dan tenang menjawab soalan peperiksaan.

           
            Sekiranya murid mengikuti langkah-langkah tersebut, sudah tentu mereka akan berjaya dengan cemerlang.Ingatlah kejayaan tidak akan datang tanpa usaha